AJK Masjid Annur
PENTADBIRAN
Kerjasama





MAsjid
أَجَعَلْتُمْ سِقَايَةَ الْحَاجِّ وَعِمَارَةَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ كَمَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَجَاهَدَ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ ۚ لَا يَسْتَوُونَ عِندَ اللَّـهِ ۗ وَاللَّـهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ
Adakah kamu sifatkan hanya perbuatan memberi minum kepada orang-orang yang mengerjakan Haji, dan (hanya perbuatan) memakmurkan Masjid Al-Haraam itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta berjihad pada jalan Allah? Mereka (yang bersifat demikian) tidak sama di sisi Allah, dan Allah tidak memberikan hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim.
Surah al-Taubah (19)
Al-Maraghi berkata: Kata-kata dalam ayat ini adalah ditujukan kepada kaum mukminin yang telah berselisih pendapat mengenai pekerjaan yang mana satukah lebih utama. Kamu tidak boleh menyamakan keistimewaan orang yang memberi minum dengan orang yang datang menunaikan ibadah haji dan memakmurkan masjid dengan keistimewaan orang yang beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat serta orang yang berjihad pada jalan Allah SWT. Ini disebabkan, meskipun mereka memberi minum dan memakmurkan (menghidupkan) masjid itu termasuk dalam soal kebajikan, namun para pelakunya tidak sama dengan orang yang beriman dan berjihad dari segi ketinggian martabat kemuliannya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 5/2718)
Menurut Kamus Dewan Bahasa, imarah bermaksud menggerakkan atau menghidupkan suasana di masjid atau surau dengan pelbagai kegiatan berfaedah, biasanya berbentuk keagamaan. (Lihat laman web Dewan Bahasa dan Pustaka)[1]
Kami berpendapat, pengimarahan masjid memberi dua maksud yang perlu dipelihara dan dilaksanakan:
- Zahir dan fizikal. Ia memberi maksud membina, mengislahkan serta menjadikan masjid begitu menarik, amat gemar dikunjungi dalam melakukan ibadat.
- Batin dan hakikatnya. Ia memberi maksud mengimarahkan masjid dengan pengisian kerohanian, ilmu dan suasana yang penuh dengan maksud asalnya iaitu tempat sujud dan tempat beribadat. Dengan itu, akan menarik sejumlah jemaah bagi melaksanakan perintah Tuhan.
Kedua-duanya amat perlu dan ia sudah pasti menatijahkan maksud sebenar pengimarahan sama ada melalui fizikal atau batinnya. Inilah yang kita dambakan kepada semua masjid yang diimarahkan.